Struktur Daulah
Ajhizah Ad-Daulah Al-Khilafah (Struktur Daulah Khilafah)
Sejak kehancuran Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), seluruh sistem pemerintahan Islam pun turut musnah. Sistem Khilafah yang selama ini telah menguasai dan memerintah hampir dua per tiga dunia kini telah lenyap. Sistem Khilafah yang telah menaungi manusia selama lebih 13 abad dan yang telah membawa rahmat ke seluruh alam, kini telah berkubur dengan runtuhnya Daulah Khilafah lebih 80 tahun yang lalu, sebuah institusi politik agung umat Islam. Justeru, generasi yang hidup selepas itu, hinggalah ke hari ini, sudah tidak lagi dapat merasai hidup di dalam Daulah Islam. Mereka sudah tidak dapat merasakan hidup di dalam sebuah Negara Islam yang benar-benar menerapkan sistem pemerintahan Islam.
Oleh sebab itu, di antara pelbagai kesulitan yang dijumpai di tengah-tengah umat Islam saat ini adalah bagaimana untuk mendekatkan gambaran sistem pemerintahan Islam di dalam benak mereka. Ini kerana, gambaran yang ada sekarang di dalam pemikiran umat Islam sudah tidak dapat lari dari sistem demokrasi kufur ciptaan Barat. Fikiran umat Islam sudah tidak mampu menggambarkan bentuk sistem pemerintahan Islam yang sebenar sebagaimana yang ada pada zaman Rasulullah dan para Khulafa’ Rasyidun. Jika ada dalam gambaran mereka sekalipun tentang sistem pemerintahan Islam, maka ia tidak dapat lari dari ruang lingkup sistem demokrasi kufur yang ada sekarang, dengan kata lain, mereka cuba menggambarkan atau menyesuaikan sistem Islam mengikut kehendak/acuan demokrasi yang ada, tanpa dapat lari darinya.
Kesulitannya tidak hanya berhenti di situ. Terdapat pula kesulitan-kesulitan lain iaitu untuk mengubah pemikiran umat Islam yang telah teracuni oleh tsaqafah Barat. Tsaqafah ini benar-benar telah menjadi senjata utama Barat dalam menghadapi umat Islam. Tsaqafah inilah yang telah Barat hunjamkan ke dalam tubuh Daulah Islam sehingga melahirkan kesakitan yang amat mendalam di dalam kehidupan umat Islam. Barat kemudian membawa senjata ini (tsaqafah) dan memberikannya kepada anak cucu Daulah, di saat senjata tersebut masih menitiskan darah ‘ibunya’ (Daulah Islam) yang baru sahaja di bunuhnya. Tatkala Barat membawa senjata ini, mereka berkata kepada anak-cucu Daulah dengan angkuh dan sombong, “Sungguh aku telah membunuh ibu kalian yang memang patut dibunuh kerana penjagaannya yang buruk terhadap kalian. Sekarang aku menjanjikan penjagaan yang lebih baik yang akan membuatkan kalian merasakan kebahagiaan hidup dan kenikmatan yang nyata.” Kemudian, anak-anak itu pun menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan dengan sang pembunuh yang mana senjatanya masih terhunus dan berlumuran dengan darah ibu mereka.
Semenjak kematian ibu mereka, umat Islam sudah kehilangan orang yang selama ini mengasuh dan menjaga mereka. Umat Islam sudah mula lupa akan orang yang selama ini menjaga dan menyayangi mereka. Racun tsaqafah yang dicucuk oleh Barat telah membiuskan mereka dari semua ini, sehingga mereka terus alpa dalam tsaqafah yang menyesatkan ini. Apabila terhantuk dan tersedar, sekali-sekala umat lalu Islam bangkit untuk memerangi Barat, tetapi sayangnya pada masa yang sama mereka masih mengambil tsaqafah Barat. Tatkala mereka bangkit menyatakan kemarahan kepada Barat, umat Islam juga dalam masa yang sama masih berpegang erat dengan sistem yang di bawa oleh Barat. Padahal dengan tsaqafah dan sistem itulah yang telah mengakibatkan mereka selama ini terjajah dan berada di dalam kehinaan. Kemudian umat Islam terhantuk lagi, dan mereka bangkit lagi untuk memerangi Barat, namun dalam masa yang sama mereka masih menghulurkan tangan kepada Barat dari arah belakang dengan mengambil racun-racun yang mematikan itu, lalu meminumnya. Lantaran itu, umat Islam terus tersungkur di dalam kelemahan, kekalahan dan kehinaan di hadapan Barat.
Justeru, pokok persoalannya sekarang adalah umat Islam itu wajib kembali menegakkan semula Daulah Islam yang akan menerapkan kepada segala hukum-hakam Islam. Umat wajib kembali menerapkan sistem pemerintahan Islam. Kita tidak mahu negeri-negeri umat Islam yang ada sekarang terus-menerus berada dalam keadaan terpecah belah dan menerapkan sistem demokrasi, kerana inilah yang dimahukan oleh Barat. Kita mahukan penyatuan semua negeri umat Islam di bawah seorang Khalifah yang menerapkan sistem yang berasal dari langit. Oleh itu, kita mesti bersatu membangun Daulah Islam yang satu untuk keseluruhan umat Islam. Dalam hal ini, kita bukannya mahu mendirikan sebuah negara yang hanya dikenali dengan ‘sebutan’ Negara Islam, tetapi berhukum dengan hukum selain hukum Allah dan Rasul. Kita juga tidak mahu mendirikan sebuah negara yang hanya ‘dikenali’ dengan Negara Islam, namun menerapkan sistem demokrasi, yang nyata-nyata sebuah sistem pemerintahan kufur. Apa yang kita mahukan adalah sebuah Daulah Khilafah yang menerapkan sistem-sistem pemerintahan Islam semata-mata.
Sesungguhnya Daulah Islam bukanlah sebuah mimpi. Bukan pula sebuah khayalan dalam imaginasi. Sebab, ia dahulunya pernah wujud dalam bentuk yang nyata, ia benar-benar wujud dan telah memenuhi relung-relung sejarah selama lebih 13 abad. Maka dari itu, Daulah Islam yang akan kita dirikan ini pun akan wujud secara nyata sebagaimana wujudnya di masa lampau. Bukti-bukti dan unsur-unsur ke arah terwujudnya sebuah Daulah Khilafah kini, ternyata jauh lebih kuat dari suara-suara yang menganggapnya sebagai sebuah mimpi. Waktu ini, umat Islam yang memiliki akal yang jernih sudah mula nampak akan kehadirannya dan mereka semakin merindukan tegaknya sebuah institusi agung pemersatu umat ini.
Sesungguhnya orang-orang yang meniti jalan dakwah untuk mewujudkan Daulah Islam mestilah mempunyai pemikiran dan pengetahuan yang jernih akan segala sistem yang bakal diterapkan di dalam Daulah Islam nanti. Sebagaimana kita meyakini firman Allah bahawa deen Islam ini sempurna, maka kita juga meyakini bahawa sistem pemerintahan Islam juga adalah sempurna. Justeru, kesempurnaan sistem Islam itu bermaksud sistem itu “berdiri sendiri” tanpa memerlukan ‘pelengkap’ dari sistem yang lain. Dengan kata lain, umat Islam tidak memerlukan sistem demokrasi, baik sebagai ‘pelengkap’, ‘penghias’, ‘penumpang’, apatah lagi sebagai ‘asas’ untuk kita melaksanakan sistem pemerintahan Islam.
Sesungguhnya Hizbut Tahrir telah memperjelas dan merincikan segala bentuk sistem pemerintahan Islam di dalam kitab-kitabnya, yang kesemuanya disertakan dengan nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunah. Selain itu, sistem-sistem pemerintahan ini juga telah diistinbat berdasarkan ijtihad tiga orang Amir Hizbut Tahrir iaitu Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, Syeikh Abdul Qadim Zallum dan yang terbaru, Syeikh Atha’ Abu Rasytah. Kesemua kitab yang membincangkan tentang sistem-sistem ini merupakan kitab yang mesti dipelajari oleh setiap orang yang ingin bergabung di dalam barisan Hizbut Tahrir.
Atas dasar untuk memudahkan kefahaman umat Islam dan juga sebagai penjernihan pemikiran tentang struktur Daulah Islam, maka Hizbut Tahrir Malaysia mempersembahkan di sini Carta Organisasi sistem-sistem Khilafah untuk tatapan semua. Carta ini adalah diambil atau di ekstrak dari sebahagian kitab-kitab keluaran Hizbut Tahrir seperti Ajhizah Daulah Al-Khilafah Fi Al-Hukm Wa Al-Idarah (Struktur Negara Khilafah Dari Segi Pemerintahan dan Administrasi, Nidzamul Hukmi Fil Islam (Sistem Pemerintahan Di Dalam Islam), Al-Amwal Fi Daulah Al-Khilafah (Harta-Harta Dalam Daulah Khilafah) dan juga kitab Nizamul Iqtisadi Fil Islam (Sistem Ekonomi Dalam Islam) di mana Hizbut Tahrir, berdasarkan nas-nas yang jelas, telah mentabanni (adopt) bahawa terdapat 13 struktur utama di dalam Daulah al-Khilafah.
Insya Allah, kandungan carta organisasi ini akan dimuatkan dengan penjelasan dari teks-teks yang diambil dari kitab-kitab tersebut dan akan dikemaskinikan dalam sedikit masa lagi. Semoga carta ini dapat memberi manfaat kepada seluruh kaum Muslimin yang menginginkan kembalinya Daulah Khilafah yang sama-sama kita perjuangkan ini. ALLAHU AKBAR!
(1) Al-Khalifah
Al-Khalifah
(2) Mu'awwin At-Tafwidh
Mu'awwin At-Tafwidh (Pembantu Pemerintahan)
(3) Mu'awwin At-Tanfiz
Mu'awwin At-Tanfiz (Pembantu Pentadbiran)
(4) Al-Wulat
Al-Wulat (wali-wali)
(5) Amirul Jihad
Amirul Jihad (Ketua Turus Angkatan Tentera)
(6) Da'irah Al-Amni
Da'irah Al-Amni (Jabatan Keamanan Dalam Negeri)
(7) Da'irah Al-Kharajiyah
Da'irah Al-Kharajiyah (Jabatan Luar Negara)
(8) Da'irah As-Sina'ah
Da'irah As-Sina'ah (Jabatan Perindustrian)
(9) Al-Qadha'
Al-Qadha' (Kehakiman)
(10) Al-Jihaz Al-Idariy
Al-Jihaz Al-Idariy (Jentera-jentera Pentadbiran)
(11) Baitul Mal
Baitul Mal
Baitul Mal - Al-Waradat
Baitul Mal - Al-Waradat (Pendapatan)
Baitul Mal - An-Nafaqat
Baitul Mal - An-Nafaqat (Perbelanjaan)
(12) Da'irah Al-I'lamiy
Da'irah Al-I'lamiy (Jabatan Penerangan)
(13) Majlis Al-Ummah
Majlis Al-Ummah (Majlis Umat)
Sumber : www.mykhilafah.com
No comments:
Post a Comment