Thursday, October 22, 2009

Islam dan sekular

Justeru elok kita cuba menelusuri secara berhemah tentang makna sekular dan sekularisme. Pada tajuk rencana ini, saya menambah perkataan sekularisasi kerana bagi saya ketiga-tiga istilah ini mestilah difahami secara sekaligus untuk kita melihat maknanya yang sebenar. Malah sekularisasilah yang lebih penting kerana ia melibatkan dinamika sesuatu proses iaitu pensekularan. Misalnya kita boleh sebut tentang sekularisasi pendidikan, sekularisasi politik dan juga sekularisasi alam kehidupan. Sekular pula adalah sifat nama bagi sesuatu yang telah mengalami proses pensekularan atau sekularisasi. Kita boleh sebut pendidikan sekular, politik sekular, alam kehidupan sekular. Mengenai sekularisme ia lebih merujuk kepada nama kepada suatu ideologi seperti sosialisme, komunisme, nasionalisme dan seumpamanya. Ketiga-tiga istilah ini sudah tentu mempunyai hubungan yang sangat rapat kerana berasal dari perkataan yang sama. Ketiga-tiga istilah ini berasal dari perkataan Latin saeculum yang menurut Prof. Naquib al-Attas merujuk kepada "keadaan pada tempat dan masa yang tertentu." Tempat dan masa itu menurut Prof. Naquib lagi ialah didunia ini dan pada ketika ini atau kita boleh sebut sebagai sini dan kini, kesinian dan kekinian atau juga kesini-kinian. Justeru saeculum itu merujuk kepada kehidupan semasa semata-mata tanpa sebarang hubungan dengan kehidupan sebelumnya. Pada prinsipnya boleh kita takrifkan seaculum itu sebagai proses pengambilan satu titik ruang-waktu kehidupan secara terputus-putus tanpa menghubungkannya dengan titik ruang-waktu kehidupan yang sebelumnya.

Inilah yang dimaksudkan sebagai sekularisasi yang pada saya lebih mustahak untuk difahami berbanding dengan sekular dan sekularisme yang cuba diketengahkan oleh Kassim dan Astora. Sekularisasi ini jugalah yang telah mula-mula diberi tafsiran ilmiah dan falsafah oleh sarjana-sarjana Barat. Yang paling terkenal dikalangan mereka ialah Marx Weber (1864-1920) yang sebenarnya mengambil dari Friedrich Schiller yang telah pun menulis seabad lebih awal dari Weber. Schiller menggunakan istilah Entgotterung iaitu "menyahkan kekudusan dari kehidupan" manakala Weber memakai istilah Entzauberung iaitu "melenyapkan ketakjuban dari kehidupan." Kemudiannya dari Schiller dan Weber ini, kepada ahli-ahli teologi Kristian seperti Cornelis Peursen dari Leiden dan Harvey Cox dari Harvard, mereka sepakat menyatakan bahawa definisi utama sekularisasi bermaksud (1) melenyapkan ketakjuban kepada alam dan kehidupan (the disenchantment of nature), (2) mencemarkan kemurnian kehidupan berpolitik dan bernegara (the desacralization of politics) dan (3) merobak-rabikkan pegangan nilai, budaya dan tradisi (the deconsecration of values). (Sila rujuk lebih lanjut dari tulisan Prof. Naquib dalam Islam and Secularism beliau mengenai hal ini).

Rujukan:
1) dinakan
2) liandcy
3) inpas