Tuesday, August 25, 2009

Islam itu adil

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar. (Al-Maidah:8-9)

Kuasa untuk kesesatan

"Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (An-Nisaa:115)

Faham sekarang kenapa mereka yang zalim itu masih berkuasa... mereka memilih jalan itu jadi Allah biarkan saja tapi tunggulah bila sampai masanya kelak... MATI ITU PASTI! AKHIRAT ITU BENAR!

Monday, August 10, 2009

Salah faham yang berleluasa

Rakan-rakan...
Jika kalian terlihat rakan-rakan sebangsaku tidakpun berkelakuan dengan akhlak-akhlak seorang Islam... janganlah hendaknya kalian simpulkan bahawa itulah ciri keperibadian yang diajar oleh petunjuk hidup kami iaitu Al-Quran dan sunnahNya...

Kalian...
Melayu tak sama dengan Islam... Islam itu adalah bagi mereka yang betul-betul mengimani bahawa "Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah, Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah" bukan sekadar melafazkannya di bibir sahaja. Mereka ini sentiasa berusaha melakukan perintah Tuhan dan menjauhi larangan Tuhan. Mereka ini memikul amanah dari Tuhan yang mencipta diri untuk saling ingat-mengingati sesama manusia dalam berbuat kebaikan dan menegah manusia berbuat kejahatan...



Kalian...
Mereka ini boleh jadi sesiapa saja... bangsa Melayu... Cina... India... Americans, Africans dan mereka ini bersaudara semuanya. Sesungguhnya seorang Muslim tidak semestinya Mukmin, seorang yang Mukmin semestinya seorang Muslim.

Saturday, August 8, 2009

Struktur Daulah Khilafah

Struktur Daulah
Ajhizah Ad-Daulah Al-Khilafah (Struktur Daulah Khilafah)
Sejak kehancuran Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), seluruh sistem pemerintahan Islam pun turut musnah. Sistem Khilafah yang selama ini telah menguasai dan memerintah hampir dua per tiga dunia kini telah lenyap. Sistem Khilafah yang telah menaungi manusia selama lebih 13 abad dan yang telah membawa rahmat ke seluruh alam, kini telah berkubur dengan runtuhnya Daulah Khilafah lebih 80 tahun yang lalu, sebuah institusi politik agung umat Islam. Justeru, generasi yang hidup selepas itu, hinggalah ke hari ini, sudah tidak lagi dapat merasai hidup di dalam Daulah Islam. Mereka sudah tidak dapat merasakan hidup di dalam sebuah Negara Islam yang benar-benar menerapkan sistem pemerintahan Islam.

Oleh sebab itu, di antara pelbagai kesulitan yang dijumpai di tengah-tengah umat Islam saat ini adalah bagaimana untuk mendekatkan gambaran sistem pemerintahan Islam di dalam benak mereka. Ini kerana, gambaran yang ada sekarang di dalam pemikiran umat Islam sudah tidak dapat lari dari sistem demokrasi kufur ciptaan Barat. Fikiran umat Islam sudah tidak mampu menggambarkan bentuk sistem pemerintahan Islam yang sebenar sebagaimana yang ada pada zaman Rasulullah dan para Khulafa’ Rasyidun. Jika ada dalam gambaran mereka sekalipun tentang sistem pemerintahan Islam, maka ia tidak dapat lari dari ruang lingkup sistem demokrasi kufur yang ada sekarang, dengan kata lain, mereka cuba menggambarkan atau menyesuaikan sistem Islam mengikut kehendak/acuan demokrasi yang ada, tanpa dapat lari darinya.

Kesulitannya tidak hanya berhenti di situ. Terdapat pula kesulitan-kesulitan lain iaitu untuk mengubah pemikiran umat Islam yang telah teracuni oleh tsaqafah Barat. Tsaqafah ini benar-benar telah menjadi senjata utama Barat dalam menghadapi umat Islam. Tsaqafah inilah yang telah Barat hunjamkan ke dalam tubuh Daulah Islam sehingga melahirkan kesakitan yang amat mendalam di dalam kehidupan umat Islam. Barat kemudian membawa senjata ini (tsaqafah) dan memberikannya kepada anak cucu Daulah, di saat senjata tersebut masih menitiskan darah ‘ibunya’ (Daulah Islam) yang baru sahaja di bunuhnya. Tatkala Barat membawa senjata ini, mereka berkata kepada anak-cucu Daulah dengan angkuh dan sombong, “Sungguh aku telah membunuh ibu kalian yang memang patut dibunuh kerana penjagaannya yang buruk terhadap kalian. Sekarang aku menjanjikan penjagaan yang lebih baik yang akan membuatkan kalian merasakan kebahagiaan hidup dan kenikmatan yang nyata.” Kemudian, anak-anak itu pun menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan dengan sang pembunuh yang mana senjatanya masih terhunus dan berlumuran dengan darah ibu mereka.

Semenjak kematian ibu mereka, umat Islam sudah kehilangan orang yang selama ini mengasuh dan menjaga mereka. Umat Islam sudah mula lupa akan orang yang selama ini menjaga dan menyayangi mereka. Racun tsaqafah yang dicucuk oleh Barat telah membiuskan mereka dari semua ini, sehingga mereka terus alpa dalam tsaqafah yang menyesatkan ini. Apabila terhantuk dan tersedar, sekali-sekala umat lalu Islam bangkit untuk memerangi Barat, tetapi sayangnya pada masa yang sama mereka masih mengambil tsaqafah Barat. Tatkala mereka bangkit menyatakan kemarahan kepada Barat, umat Islam juga dalam masa yang sama masih berpegang erat dengan sistem yang di bawa oleh Barat. Padahal dengan tsaqafah dan sistem itulah yang telah mengakibatkan mereka selama ini terjajah dan berada di dalam kehinaan. Kemudian umat Islam terhantuk lagi, dan mereka bangkit lagi untuk memerangi Barat, namun dalam masa yang sama mereka masih menghulurkan tangan kepada Barat dari arah belakang dengan mengambil racun-racun yang mematikan itu, lalu meminumnya. Lantaran itu, umat Islam terus tersungkur di dalam kelemahan, kekalahan dan kehinaan di hadapan Barat.

Justeru, pokok persoalannya sekarang adalah umat Islam itu wajib kembali menegakkan semula Daulah Islam yang akan menerapkan kepada segala hukum-hakam Islam. Umat wajib kembali menerapkan sistem pemerintahan Islam. Kita tidak mahu negeri-negeri umat Islam yang ada sekarang terus-menerus berada dalam keadaan terpecah belah dan menerapkan sistem demokrasi, kerana inilah yang dimahukan oleh Barat. Kita mahukan penyatuan semua negeri umat Islam di bawah seorang Khalifah yang menerapkan sistem yang berasal dari langit. Oleh itu, kita mesti bersatu membangun Daulah Islam yang satu untuk keseluruhan umat Islam. Dalam hal ini, kita bukannya mahu mendirikan sebuah negara yang hanya dikenali dengan ‘sebutan’ Negara Islam, tetapi berhukum dengan hukum selain hukum Allah dan Rasul. Kita juga tidak mahu mendirikan sebuah negara yang hanya ‘dikenali’ dengan Negara Islam, namun menerapkan sistem demokrasi, yang nyata-nyata sebuah sistem pemerintahan kufur. Apa yang kita mahukan adalah sebuah Daulah Khilafah yang menerapkan sistem-sistem pemerintahan Islam semata-mata.

Sesungguhnya Daulah Islam bukanlah sebuah mimpi. Bukan pula sebuah khayalan dalam imaginasi. Sebab, ia dahulunya pernah wujud dalam bentuk yang nyata, ia benar-benar wujud dan telah memenuhi relung-relung sejarah selama lebih 13 abad. Maka dari itu, Daulah Islam yang akan kita dirikan ini pun akan wujud secara nyata sebagaimana wujudnya di masa lampau. Bukti-bukti dan unsur-unsur ke arah terwujudnya sebuah Daulah Khilafah kini, ternyata jauh lebih kuat dari suara-suara yang menganggapnya sebagai sebuah mimpi. Waktu ini, umat Islam yang memiliki akal yang jernih sudah mula nampak akan kehadirannya dan mereka semakin merindukan tegaknya sebuah institusi agung pemersatu umat ini.

Sesungguhnya orang-orang yang meniti jalan dakwah untuk mewujudkan Daulah Islam mestilah mempunyai pemikiran dan pengetahuan yang jernih akan segala sistem yang bakal diterapkan di dalam Daulah Islam nanti. Sebagaimana kita meyakini firman Allah bahawa deen Islam ini sempurna, maka kita juga meyakini bahawa sistem pemerintahan Islam juga adalah sempurna. Justeru, kesempurnaan sistem Islam itu bermaksud sistem itu “berdiri sendiri” tanpa memerlukan ‘pelengkap’ dari sistem yang lain. Dengan kata lain, umat Islam tidak memerlukan sistem demokrasi, baik sebagai ‘pelengkap’, ‘penghias’, ‘penumpang’, apatah lagi sebagai ‘asas’ untuk kita melaksanakan sistem pemerintahan Islam.

Sesungguhnya Hizbut Tahrir telah memperjelas dan merincikan segala bentuk sistem pemerintahan Islam di dalam kitab-kitabnya, yang kesemuanya disertakan dengan nas-nas dari Al-Quran dan As-Sunah. Selain itu, sistem-sistem pemerintahan ini juga telah diistinbat berdasarkan ijtihad tiga orang Amir Hizbut Tahrir iaitu Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, Syeikh Abdul Qadim Zallum dan yang terbaru, Syeikh Atha’ Abu Rasytah. Kesemua kitab yang membincangkan tentang sistem-sistem ini merupakan kitab yang mesti dipelajari oleh setiap orang yang ingin bergabung di dalam barisan Hizbut Tahrir.

Atas dasar untuk memudahkan kefahaman umat Islam dan juga sebagai penjernihan pemikiran tentang struktur Daulah Islam, maka Hizbut Tahrir Malaysia mempersembahkan di sini Carta Organisasi sistem-sistem Khilafah untuk tatapan semua. Carta ini adalah diambil atau di ekstrak dari sebahagian kitab-kitab keluaran Hizbut Tahrir seperti Ajhizah Daulah Al-Khilafah Fi Al-Hukm Wa Al-Idarah (Struktur Negara Khilafah Dari Segi Pemerintahan dan Administrasi, Nidzamul Hukmi Fil Islam (Sistem Pemerintahan Di Dalam Islam), Al-Amwal Fi Daulah Al-Khilafah (Harta-Harta Dalam Daulah Khilafah) dan juga kitab Nizamul Iqtisadi Fil Islam (Sistem Ekonomi Dalam Islam) di mana Hizbut Tahrir, berdasarkan nas-nas yang jelas, telah mentabanni (adopt) bahawa terdapat 13 struktur utama di dalam Daulah al-Khilafah.

Insya Allah, kandungan carta organisasi ini akan dimuatkan dengan penjelasan dari teks-teks yang diambil dari kitab-kitab tersebut dan akan dikemaskinikan dalam sedikit masa lagi. Semoga carta ini dapat memberi manfaat kepada seluruh kaum Muslimin yang menginginkan kembalinya Daulah Khilafah yang sama-sama kita perjuangkan ini. ALLAHU AKBAR!


(1) Al-Khalifah
Al-Khalifah

(2) Mu'awwin At-Tafwidh
Mu'awwin At-Tafwidh (Pembantu Pemerintahan)

(3) Mu'awwin At-Tanfiz
Mu'awwin At-Tanfiz (Pembantu Pentadbiran)

(4) Al-Wulat
Al-Wulat (wali-wali)

(5) Amirul Jihad
Amirul Jihad (Ketua Turus Angkatan Tentera)

(6) Da'irah Al-Amni
Da'irah Al-Amni (Jabatan Keamanan Dalam Negeri)

(7) Da'irah Al-Kharajiyah
Da'irah Al-Kharajiyah (Jabatan Luar Negara)

(8) Da'irah As-Sina'ah
Da'irah As-Sina'ah (Jabatan Perindustrian)

(9) Al-Qadha'
Al-Qadha' (Kehakiman)

(10) Al-Jihaz Al-Idariy
Al-Jihaz Al-Idariy (Jentera-jentera Pentadbiran)

(11) Baitul Mal
Baitul Mal

Baitul Mal - Al-Waradat
Baitul Mal - Al-Waradat (Pendapatan)

Baitul Mal - An-Nafaqat
Baitul Mal - An-Nafaqat (Perbelanjaan)

(12) Da'irah Al-I'lamiy
Da'irah Al-I'lamiy (Jabatan Penerangan)

(13) Majlis Al-Ummah
Majlis Al-Ummah (Majlis Umat)

Sumber : www.mykhilafah.com

Monday, August 3, 2009

Menuju era ke-5!

Saya amat tertarik untuk berbincang mengenai isu perpaduan umat Islam ini memandangkan umat Islam dilihat sewenang-wenangnya ditindas di serata dunia...

Hasil pembacaan saya dari buku bertajuk '3 Tokoh Bakal Menakluk Dunia: Al-Mahdi - Dajjal - Nabi Isa Al-Masih, Al-Mahdi dan Isa Pembawa Keamanan Sejagat'.

Rupa-rupanya penindasan yang berlaku ke atas umat Islam serata dunia ini merupakan salah satu dari tanda-tanda hampirnya Kiamat (rujuk ms 38-40). Tidak ketinggalan termasuklah juga dengan berpecah-belahnya umat Islam (rujuk ms 83-88).

Kajian saya dari buku yang sama juga menemukan saya dengan hadis ini yang sedikit sebanyak mengubat kelukaan hati melihat saudara seakidah ditindas di sana sini...
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud, "Telah berlaku era pemerintahan KENABIAN, ia berlaku dan berakhir sepertimana yang Allah kehendaki. Setelah itu berlaku pula era pemerintahan KHALIFAH AL-RASYIDIN yang berjalan mengikut manhaj (ciri) era kenabian, ia berlaku dan berakhir menurut sepertimana yang Allah kehendaki. Setelah itu diganti pula dengan era pemerintahan yang MENGGIGIT (fitnah) diperintah secara warisan (Monarki), ia berlaku dan berakhir mengikut kadar masa yang ditentukan Allah. Setelah itu diganti dengan era pemerintahan DIKTATOR, ia berlaku dan berakhir mengikut tempoh yang Allah kehendaki. Setelah itu diganti pula dengan era pemerintahan KHALIFAH yang mendapat petunjuk di atas jalan kenabian. Era ini ialah era kegemilangan keseluruhan muka bumi.”(Rujuk ms 4)

Hadis ini menjelaskan bahawa dunia sejak zaman Rasulullah s.a.w hingga HAMPIR KIAMAT terbahagi LIMA ZAMAN...

1) Zaman Rasulullah s.a.w (25 tahun)

2) Zaman Khulafa Ar-Rasyidin; 4 Khalifah bersahabat - 30 tahun >> Saidina Hassan bin Ali sehingga Umar Abdul Aziz – 60 >> khalifah2 seterusnya selama 200 tahun. Rasullullah s.a.w menegaskan bahawa umat Islam di dalam keadaan baik sahaja selama 300 tahun ini tetapi tidak begitu lagi setelah itu berdasarkan penegasan Rasulullah s.a.w,
”Sebaik-baik kurun ialah kurun aku dan kurun sesudah itu dan sesudah itu dan sesudah itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3) Zaman fitnah

4) Zaman diktator (pemerintahan ideologi-ideologi buatan manusia – sosialis, komunis, kapitalis, demokrasi termasuk nasionalis!)

5) Zaman KEKHALIFAHAN yang mengikut manhaj zaman kenabian.

Di samping hadis tadi... terdapat hadis lain di mana Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa menjelang Kiamat nanti Islam akan kembali berkuasa dan muncul pemimpin bergelar KHALIFAH.

Hadisnya...
Dari Said dan Jabir bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, ”Akan ada PADA AKHIR ZAMAN nanti seorang KHALIFAH yang akan membahagi-bahagikan harta kepada rakyat sehingga tidak terhitung banyaknya (makmur).” (Riwayat Muslim) (Rujuk ms 5)

Hadis lain...
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: Kalau tidak tinggal dari umur dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keturunanku atau kaum keluargaku, namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana (sebe­lum­nya) ia telah dipenuhi dengan kezaliman. (Ri­wa­yat At Tirmizi) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti, Mujaddid kurun ke-9)

Era 1 – 4 yang telah disebut Rasulullah s.a.w pada lebih kurang 1,400 tahun yang lampau telah dan sedang berlaku!

Tidakkah kita kini sedang berdepan dengan pemerintahan ideologi-ideologi di era ke-4???! Sejarah kekuasaan mereka antara 100-200 tahun.



Di era ke-4 inilah dapat dilihat bagaimana strategi musuh meruntuhkan semangat KESATUAN UMMAH SEJAGAT dan menanam semangat NASIONALISME setelah terhapusnya sistem Khalifah di Turki tahun 1924 melalui agen musuh bernama Mustafa Kamal At-Tarturk yang kita kenali selama ini sebagai Bapa Kemodenan Turki!



Setelah itu maka bermulalah era ”Kau jaga negara/negeri/keluarga/diri kau dan aku jaga negara/negeri/keluarga/diri aku sendiri! Jangan masuk campur! Jaga tepi kain sendiri, jangan jaga tepi kain orang!” Strategi mereka nampaknya berkesan!!! Jiran tak kenal jiran lagi! Mati kubur masing-masing... Terlupa agaknya... diri sebenarnya masih memerlukan insan lain untuk memandikannya, menyolat jenazahnya, mengusung kerandanya dan menimbus tanah di liang lahadnya...





Tapi jika DIAMATI DENGAN TELITI perkembangan semasa kini, era kegemilangan pemerintahan DIKTATOR ini telah SEMAKIN LEMAH KUASANYA seperti Amerika dan Eropah Barat.

DAN SETERUSNYA... ERA KE-5 YANG AMAT DINANTIKAN... SEMOGA KITA SEMUA TERMASUK DI DALAM RANTAIAN UMAT YANG BERADA DI DALAM PERJUANGAN MENUJU ERA KE-5 INI...! AMIN...

Jika tidak kerugianlah kita! Mungkin perjuangan kita terhenti di pertengahan jalan di kala ajal sudah dijemput... anak-anak warisan umat akan menikmati kejayaannya di kemudian hari... lebih-lebih lagi buat anak-anak kita di Palestin yang dizalimi. InsyaAllah...

Bukankah itu sebaik-baik bekalan amalan dibawa ke Akhirat? Menjadi insan yang memberi manfaat pada orang lain... bak kata Ustaz AbuSaif ”Erti Hidup Pada Memberi”...

Strategi perjuangan kita...??? Pandangan peribadi saya sendiri... (in no chronological order).

1. Berakhlak Muslim supaya memberi teladan kepada manusia sekeliling. Di rumah... di sekolah... di universiti... di tempat bekerja... di mana-mana... Kuatkan jati diri walau berada di persekitaran yang cenderung negatif tetap tidak sedikitpun terpengaruh dengannya.
Firman Allah s.w.t bermaksud, "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah s.a.w. itu suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah." (Surah al-Ahzab: 21)

Bina kekuatan dalaman diri sendiri... dengan ini saya selalu membayangkan apakah tindakan saya jika diugut dengan senjata tajam dihunus ke leher ini memaksa saya keluar dari agama yang saya anuti selama ini...

Adakah saya akan menyerah kalah kerana ketakutan atau tidak yakin??? Atau... saya akan terus pertahankan walau nyawa terpaksa melayang?!
"Dan, jangan sekali-kali engkau menyangka orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." (Surah Ali Imran: 169)

Lihat saja betapa kentalnya akidah Sumaiyah wanita Islam pertama syahid seperti yang ditonjolkan di klip filem "The Message" ini...



Sukar... terlalu banyak yang saya sendiri perlu persiapkan diri untuk memilih berada di situasi kedua kerana Islam saya selama ini saya rasakan hanya kerana Islam Genetik bukan kerana Islam yang Haq!
"...Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”. (Surah al-An’am: 162)

2. Mengajak mereka yang terdekat dengan diri... keluarga dan saudara mara kerana Allah telah memberi panduan sebagaimana firmanNya bermaksud,
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharakanlah dirimu dan keluargamu dari azab api neraka, yang bahan bakarnya adalah terdiri daripada manusia dan batu, penjaga-penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai ALLAH terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah At-Tahrim: 6)

3. Memilih pemimpin yang meletakkan dalam agendanya untuk mencorak pemerintahan negara ke arah menuju perjuangan menempuh era ke-5 bersama-sama pemimpin dunia Islam yang lain yang mempunyai cita2 yang sama.

4. Jalinkan talian persahabatan dengan saudara-saudara kita di serata dunia biarpun hanya secara maya dan berkongsi inspirasi yang sama.

5. Menyertai kumpulan jemaah yang diyakini menggerakkan perjuangan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah As-Saff: 4)

Pendapat anda bagaimana....???



”Bersama Merapatkan Saf Perjuangan Menuju Era Ke-5!”
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sebelum kaum itu berjuang keras untuk mengubah nasibnya sendiri.” (Surah ar-Raad: 11)

Lagi perbincangan di forum I Luv Islam ini.