Pondok Buruk Tepi Sungai
Oleh Safuri Kamarudin (am@hmetro.com.my)
BALING: “Di pondok buruk ini nenek akan menghabiskan sisa hayat nenek. Meskipun terpinggir dan tidak menerima bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan, nenek masih bahagia kerana tidak mengganggu hidup orang lain,” kata Siti Atkah Tahir, 76, yang tinggal sebatang kara di Kampung Rambung, Batu Tujuh, Jalan Kroh, di sini.
Bagaimanapun, warga emas itu yang tinggal di sebuah pondok di tebing sungai bersebelahan tanah perkuburan Islam di kampung itu, berterima kasih kepada jiran cukup prihatin dan sering menghulurkan bantuan kerana kasihan melihatnya.
... “Saya bersyukur kerana apabila terputus bekalan, ada jiran menghulurkan makanan. Mereka juga kerap menjenguk untuk ajak berbual selain bertanya khabar berikutan saya kini tinggal berseorangan,” katanya yang mendakwa mempunyai enam anak tetapi semua sudah berhijrah dari daerah ini dan jarang pulang menjenguknya.
Menurutnya, mungkin anaknya jarang pulang kerana dia orang susah dan tua.
“Namun, nenek masih bahagia walaupun terpaksa meneruskan kehidupan seorang diri sebelum ajal menjemput,” katanya.
Sumber: Harian Metro, 5 Jun 2009
No comments:
Post a Comment