Friday, July 17, 2009

Hakikatnya manusia...

Dia kini sedang melalui satu destinasi yang dipanggil ’dunia’. Sepanjang perjalanannya di destinasi ’dunia’ itu banyak jugalah ’cabang-cabang jalan’ yang ditemuinya. Adakalanya dia terkeliru nak memilih jalan yang mana satu. Adakalanya juga dia sendiripun tak tahu nak ke mana sebenarnya dia? Hilang arah tujuan...

Dia bukanlah tidak ada ’buku panduan kembara’ bertajuk Al-Quran itu yang menjadi bekalannya kerana dia sedar mana mungkin akan lancar sesuatu perjalanan di tempat asing jika tidak ada sebarang panduan untuk diikutinya.

Cumanya dek kerana terlampau asyik dengan keseronokan dan keindahan di dunia, dia terlupa yang selepas itu dia pasti akan menempuh satu destinasi lain yang namanya ’alam barzakh’ atau lebih dikenali sebagai ’alam kematian’. Bukan terhenti setakat itu saja. Selepas itu, dia akan melalui pula satu destinasi lagi yang namanya terkenal sebagai ’alam akhirat’. Dia ingat-ingat lupa dalam ’buku panduan kembara’ ada menyatakan di alam akhirat itu akan ada lagi satu jalan yang bercabang dua di mana di kedua-dua destinasi itulah penghujung segala perjalanan yang mesti ditempuhi seseorang ’pengembara’ sepertinya. Satu akan membawanya ke destinasi ’Neraka’ manakala satu lagi akan membawanya ke destinasi ’Syurga’.

Dia biasa mendengar kisah tentang kedua-kedua tempat itu. Walau ’tersesat’ bagaimanapun dia... dia tetap akan memilih untuk ke ’Syurga’ juga. ’Syurga’ dengar khabarnya memang indah belaka berbanding ’Neraka’. Tak sanggup dia untuk menginap di ’Neraka’. Dengar khabarnya, tidak convenient langsung tempat itu. Panas! Kotor! Bising! Hanya orang yang tidak waras saja rasanya akan memilih untuk ke situ... tapi yang pastinya bukan dia. Dia masih waras!!!

Namun apakan daya... seringkali juga dia menghadapi dilema antara menurut kehendak nafsu atau fitrah hatinya yang menemani perjalanannya. Nafsu penasihatnya SYAITAN, hati pula penasihatnya IMAN. Fitrah hati memang bercita-cita untuk ke ’Syurga’ tapi nafsu pula merengek-rengek manja memujuk dia memilih keseronokan yang ada di persinggahan dunia. Adakalanya tertewas juga dia dengan nafsu... Berhasillah nafsu mengajaknya masuk ke cabang-cabang jalan yang akhirnya menuju ke ’Neraka’. Tempat tinggal penasihatnya SYAITAN!



Cuma apa yang dia harapkan... agar dia cepat-cepat tersedar jika telah tersalah memilih jalan dan segera mencari jalan U-Turnnya. Segala tips untuk sampai ke ’Syurga’ telahpun dibekalkan di dalam ’buku panduan kembara’ itu. Antara endah dengan tidak endah saja untuk mengikutinya.

Wahai diri... janganlah dia termasuk dalam golongan mereka yang kerugian kekal kerana terpaksa tinggal bersama penasihat nafsu yang bernama SYAITAN itu selama-lamanya di ’Neraka’!!!




Wahai Tuhan,
Ku tak layak ke syurgaMu,
Namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu,
Ampunkan dosa dan terimalah taubatku,
Sesungguhnya engkaulah pengampun dosa-dosa besar,

Dosa-dosaku bagaikan pepasir dipantai,
Dengan rahmatmu ampunkan daku,
Oh Tuhanku,
Wahai Tuhan,
Selamatkan kami ini,
Dari segala kejahatan dan kecelakaan,

Kami takut kami harap kepadaMu,
Suburkanlah cinta kami kepadaMu,
Kamilah hamba yang berharap belas dariMu.

“Perjalanan ke syurga dilingkungi dengan duri dan onak. Manakala jalan ke neraka dikelilingi dengan keinginan syahwat. Demikian ditegaskan oleh Nabi Muhammad saw. mengenai dua jalan yang ditempuhi oleh manusia.

No comments: