Terima kasih kepada Ustaz Amin atas info yang dikongsikan di blog beliau.
25 April 09, jam 11.30 pagi, saya betul-betul berada di hadapan makam Nabi Ibrahim di Masjid Khalil al-Rahman di Hebron, memerhati tempat semadi bapa para Nabi dan Rasul. Gelaran itu kerana banyak para Nabi dari keturunan baginda. Bangsa Arab dan Bani Israel juga bersusur galurkan baginda.
Hari ini kita akan berbincang mengenai sejarah keturunan Bani Isreal. Benarkah kenyataan mereka yang mendakwa bahawa tanah Palestin ini adalah tanah mereka yang asal. Mari kita bincang sedikit asal usul keturunan mereka ini.
Kita mulakan dengan kisah hijrahnya Nabi Ibrahim a.s ke Hebron (Khalili) setelah peristiwa pembakaran baginda di Iraq. Baginda datang ke Hebron dengan sepupu baginda Nabi Lut a.s. Mereka berdua adalah ahli perniagaan yang berjaya.
Sesampainya ke Hebron, baginda telah berkahwin dengan Siti Sarah manakala Nabi Lut a.s telah melanjutkan perjalanannya ke Kota Sodum (tapak laut mati sekarang).
Nabi Ibrahim kemudiannya ke Mesir. Sampai di Ber Siva ini baginda bertemu dengan seorang raja yang akan suka meniduri isteri orang. Ketika ditanya kepada Nabi Ibrahim, adakah Sarah isterinya, maka Nabi Ibrahim menjawab bahawa Sarah ialah adiknya. Maka pasangan ini tidak digangu. Selepas beberapa ketika di Mesir, maka Nabi Ibrahim kembali ke Hebron. Sekembalinya ke Hebron baginda berkahwin pula dengan Siti Hajar.
Dari Siti Hajar lahirlah Nabi Ismail dan dari Siti Sarah lahirlah Nabi Ishak. Nabi Ismail kemudiannya dibawa ke Mekah bersama ibunya. Dari keturunan Nabi Ismail lahirlah bangsa Arab.
Nabi Ishak masih tetap di Hebron. Baginda kemudiannya berkahwin dengan Rifqah (Rebecca) dan mendapat anak bernama Ya'kub. Nabi Ya'kub inilah bapa kepada Bani Israel.
Nabi Ya'kub berkahwain dengan Liqiyyah (Liyah) mendapat anak seramai 12 orang yang akhirnya dinisbahkan 12 suku Bani Israel. Salah seorangnya adalah Nabi Yusuf.
Ketika kecil Nabi Yusuf telah dibuang ke perigi, baginda telah diambil oleh pedagang dan dibawa ke Mesir. Secara ringkasnya, setelah dewasa, akhirnya Baginda Yusuf menjadi menteri dan membawa seluruh keluarganya ke Mesir. Bermulalah sejarah Bani Israel di Mesir.
Selama beberapa keturunan mereka di sana, menjadikan mereka menguasai Mesir dan bersikap sombong. Bangsa Qibti yang memang berasal dari Mesir ini akhirnya menjadikan mereka hamba. Semakin hari semakin tertekan hinggalah sampai zaman firaun dan Nabi Musa. Nabi Musalah yang membawa 12 suku Bani Israel keluar dari Mesir dan menuju ke Palestin.
Nabi Musa wafat sebelum sempat membawa Bani Israel masuk ke Palestin. Misinya diteruskan oleh anak muridnya Nabi Yusyak (makamnya ada di Jordan). Ketika itu Palestin telah ada penduduk asal iaitu bangsa Kan'an. Bangsa inilah penduduk asal Palestin.
Mereka duduk aman damai hinggalah mereka ditindas oleh seorang penguasa jahat bernama Jalut. Bani Israel melalui Nabi mereka bermunajat pada Allah supaya diutuskan seorang pemimpin, maka Allah mengutuskan seorang pemimpin bernama Talut. Berperanglah keduanya. Orang yang dapat membunuh jalut ialah seorang keturunan Israel bernama Nabi Daud.
Bagi mengenang jasa, Nabi Daud telah berkahwin dengan anak Talut. Ketika Talut meninggal, maka Nabi Daud menaiki tahta dan Nabi Daud merupakan raja pertama bagi Bani Israel. Kerajaan ini diganti oleh anaknya Nabi Sulaiman. Pada tahun 967 s.m (sebelum masihi), Nabi Sulaiman mendirikan istananya yang besar untuk semua beribadah kepada Allah.
Selepas kewafatan Nabi Sulaiman, maka tahta ini diganti oleh keturunan Bani Israel hinggalah tahun 586 s.m apabila kota Jerusalem dihanguskan oleh seorang raja bernama Nabuchatnizar dari Iraq. Raja ini juga telah menghancurkan istana Nabi Sulaiman. Dari tahun ini, Bani Israel tidak mempunyai kuasa hinggalah Rom menawan mereka.
Pada tahun 37 s.m, Rom telah melantik wakilnya dari Bani Israel iatu Raja Herod untuk membantu memerintah Palestin. Ketika inilah Raja Herod membangunkan kembali Istana Sulaiman. Ketika kelahiran Nabi Isa, Raja Herod cuba membunuh Nabi Isa kerana berpendapat bahawa Isa akan merampas tahtanya ketika besar nanti. Nabi Isa dilarikan ke Mesir selama dua tahun dan kembali ke Palestin setelah Raja Herod mati. Nabi Isa kemudiannya dibesarkan di Nazareth.
Herod digantikan oleh anaknya iaitu Raja Herod Agripa dan terjadilah peristiwa pembunuhan Nabi Zakariya, Yahya dan pemburuan Nabi Isa. Nabi Isa kemudiannya diangkat Nabi Isa ke langit.
Sebagai kehinaan dari Allah, Rom akhirnya tidak mempercayai Herod Agripa dan pada tahun 70 masihi Rom telah menyerang dan menghancurkan Jerusalem. Sejak tahun 70 masehi inilah, Bani Israel keluar dan duduk di merata-rata tempat. Mereka tidak berani untuk datang ke Palestin kerana takutkan Rom.
Mereka menunggu kedatangan Nabi akhir zaman yang diisyaratkan lahirnya di bumi Tihamah iaitu tanah rendah yang banyak pokok tamar. Mereka mencari di mana Tihamah ini. Akhirnya, mereka berpendapat Tihamah ialah Madinah Munawwarah. Pada ketika itu, nama tempat ini ialah Yathrib. Bani Israel beramai-ramai pindah ke Madinah, beranak pinak di sana kerana mengharapkan Nabi akhir zaman lahir dari Bani Israel. Rupanya Allah menghendaki bahawa nabi akhir zaman lahir dari bangsa Arab.
Sebahagian besar Bani Israel menolak kenabian Muhammad saw dan bagi mereka yang tidak beriman inilah, digelar oleh Allah sebagai Yahudi. Kemuncak penentangan mereka ialah apabila mereka cuba mengkhinatai Nabi saw dan akhirnya mereka semua diperangi dan keluar dari Madinah.
Yahudi duduk bersepah-sepah. Mereka hanya kembali ke Palestin pada tahun 1187 masehi apabila Salahuddin al-Ayubi mengalahkan tentera Salib. Istana Sulaiman yang dihancurkan pada tahun 70 masehi ini habis dan hanya tinggal sekeping tembok (walling wall) sekarang menjadi tempat ibadah mereka.
Propoganda untuk menubuhkan negara Israel telah bermula dihujung kurun ke 19 dan akhirnya dengan bantuan British, pada tahun 1948, negara Israel telah ditubuhkan.
Dari rentetan sejarah ini, jelaslah bahawa, Israel hanyalah pendatang. Palestin bukan tanah asal mereka. Bangsa Kan'an (orang Palestin sekarang) adalah penduduk asal tanah ini.
Mereka sedang berusaha menipu sejarah dengan menyatakan bahawa merekalah penduduk asal tanah ini.
Walau apapun, kesombongan mereka menyebabkan mereka menganggap bangsa lain adalah setaraf binatang. Mereka menganggap mereka bangsa pilihan, mereka menganggap mereka dijadikan khas oleh tuhan dan merekalah satu-satunya bangsa yang boleh menegur tuhan.
Sesungguhnya, al-Quran menyatakan bahawa, orang yang paling mulia ialah orang yang paling bertaqwa. Mulia tidak terletak kepada keturunan. Ia terletak kepada iman di dada. Walau apa bangsa dan keturunan pun, jika beriman, maka mereka mulia di sisi Allah.
Semoga Allah memberikan kita rezeki keimanan untuk terus menjadi hamba Allah yang baik. Semoga selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Makam Nabi Ibrahim yang berada di Masjid Khalil al-Rahman di Hebron, 60 km dari Jerusalem
Makam Nabi Yaakub dan isterinya Liqiyyah (Liyah) di sebelah makam Nabi Ibrahim. Sekarang orang Islam tidak dibenarkan melawat makam ini lagi. Hanya untuk orang Yahudi. Dalam setahun hanya sepuluh hari sahaja mereka membuka untuk lawatan orang Islam. Nabi Yaakub inilah yang dianggap bapa Bani Israel.
Makam Siti Sarah yang berada sebelah dengan makam Nabi Ibrahim
Di kanan adalah makam Nabi Ishak dan kiri adalah makam isterinya Rifqah (Rebecca). Ia juga berada di dalam masjid lima meter dari makam Nabi Ibrahim.
Walling Wall. Orang Yahudi mendakwa, inilah dinding istana Nabi Sulaiman. Istana Nabi Sulaiaman dua kali telah dihancurkan, pertama oleh Nabucatnizar dan kedua oleh tentera Rom di bawah arahan Titos pada tahun 70 m. Mereka sedang berusaha membangunkan untuk kali ketiga istana Nabi Sulaiman ini.
Pintu masuk ke makam Nabi Daud di Jerusalem, raja pertama Bani Israel.
Untuk masuk ke sini, orang Yahudi mensyaratkan mesti memakai penutup kepala.
Disediakan kopiah kertas untuk pengunjung sebagai tanda menghormati Nabi Daud.
Makam Nabi Daud a.s. Ia dipisahkan dengan dinding. Orang lelaki dan orang perempuan tidak dibenarkan bercampur. Nabi Daud dikurniakan dengan suaranya baginda yang merdu. Bagi orang Yahudi, Nabi Daud adalah ahli muzik. Lambang di makamnya ialah lambang gitar Nabi Daud.
"Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat"
Al-fakir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Putra Heights
15 Mei 09 jam 2.30 petang
Sumber: Blog Ustaz Amin
No comments:
Post a Comment